Flying bat in a marquee
MOMOK The Movie 2009..MOMOK..Jangan Panggil Aku 2011..MOMOK Jangan Cari Pasal 2012..."Rumah Sewa RM50"-2014!!.."DIA" 21 May 2015!!.

HTML for marquees

Monday, August 3, 2009

MOMOK Ilham daripada Pameran Hantu


PARA pelakon Momok The Movie selepas pelancaran filem itu di Finas, Hulu Klang, Selangor baru-baru ini. Gambar ASWAD YAHYA


Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my

FILEM seram merupakan antara genre yang popular di kalangan pembikin filem kerana ia sering mendapat sambutan hangat daripada para penonton tempatan sejak kebelakangan ini.
Bagi menghasilkan sesebuah filem seram, pelbagai idea tentang kisah-kisah hantu telah dicetuskan oleh para pembikin filem termasuklah yang diambil daripada Pameran Hantu anjuran Muzium Negara, Kuala Lumpur, tujuh tahun lalu.

Pengarah filem berjudul Momok The Movie, M. Jamil misalnya, banyak mendapat ilham daripada pameran itu sebelum beliau mengarahkan filem terbitan Galaksi Seni Sdn. Bhd. tersebut.

Malah, menurut pengarah yang juga anak pelakon seniwati Datuk Sarimah Ahmad, sebelum mengarahkan filem kelapan arahannya itu, beliau juga telah mengarahkan sebuah cakera padat video (VCD) berjudul Momok di mana ia mendapat sambutan di luar dugaan.
"Idea pembikinan VCD Momok dan juga Momok The Movie ini datangnya selepas saya menyaksikan Pameran Hantu di Muzium Negara, Kuala Lumpur pada tahun 2002.
"Sebelum ini, saya pernah mengarahkan VCD Momok iaitu pada 2004 dan jualannya melebihi 30,000 unit. Daripada situlah timbulnya idea untuk menerbitkan filem ini.
"Pada tahun 2004 saya mula menulis skrip filem Momok The Movie. Pada 19 Januari lalu kami telah memulakan penggambaran filem itu di mana ia siap sepenuhnya pada 12 Februari lalu.
"Pada 14 Mei lalu pula, filem ini telah pun mendapat kelulusan daripada LPF (Lembaga Penapis Filem Malaysia).

"Momok The Movie akan ditayangkan kepada umum mulai 20 September ini," katanya pada pelancaran Momok The Movie di Studio Mixstage, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Klang, Selangor, baru-baru ini.
Momok The Movie yang antaranya dilakonkan oleh Datuk Aziz Sattar, Sarimah Ahmad, Faizal (Akademi Fnatasia 4), Abon dan Nabil (Raja Lawak 2) akan diedarkan ke pawagam-pawagam seluruh negara oleh MIG Production Sdn. Bhd.

Menurut M. Jamil, beliau berasa amat teruja dengan filem terbaru arahannya itu selepas hampir 15 tahun tidak mengarahkan filem cereka.
"Saya sebenarnya berasa rindu kerana lama tidak mengarah filem. Ini kerana sebelum ini saya sibuk dengan kerja saya di Bernama (Pertubuhan Berita Nasional) sebagai editor di sana. Ketika VCD Momok diterbitkan, saya ketika itu masih bekerja di Bernama.
"Kami akan cuba mempromosikan filem ini secara besar-besaran sebelum ia ditayangkan di 60 buah pawagam di seluruh negara. Iklan besar atau billboard poster iklan ini akan mula dipasang mulai 1 Ogos lalu antaranya di Hentian Bas Puduraya, Kuala Lumpur.

"Selain itu kami juga menerbitkan sebuah buku bertajuk Momok The Movie The Official Shooting Script sebagai bahan rujukan tentang filem ini yang ditulis oleh saya sendiri," jelasnya.
Filem arahan M. Jamil menggunakan hampir 60 peratus lokasi penggambaran Momok The Movie di negeri kelahirannya, Pahang.

Difahamkan Jamil mengambil masa hampir lima tahun melakukan penyelidikan berkaitan hantu-hantu yang popular di negara ini sebelum Momok The Movie dihasilkan.
Sebagai contohnya, menerusi buku nukilan beliau itu disenaraikan hampir 100 nama hantu yang sering diceritakan dari mulut ke mulut dalam masyarakat di negara ini.
"Secara tidak langsung, filem ini mampu untuk mengimbau nostalgia atau mengingatkan kita kepada filem-filem hantu yang biasa diperdengarkan kepada kita," katanya.

Bekas juara Akademi Fantasia 4, Faizal yang melakonkan watak utama, Adlin dalam Momok The Movie pula berasa bertuah dengan penampilan sulungnya dalam filem tersebut.
Ini kerana kata anak kelahiran Terengganu ini, Momok The Movie bukan setakat merupakan filem pertama lakonannya tetapi dia juga diberi peluang melakonkan watak utama.
"Saya anggap ini pengalaman baru saya dalam bidang perfileman kerana sebelum ini saya lebih tertumpu kepada dunia nyanyian. Mungkin ini peluang untuk saya mencuba bidang-bidang seni yang lain.


"Selepas Momok The Movie, saya juga baru habis menjalani penggambaran filem Pulau Asmara arahan Utham Kumar terbitan Alakazam Production. Saya rasa selepas ini saya akan berlakon dalam lebih banyak filem lagi," ujarnya.

No comments: