Flying bat in a marquee
MOMOK The Movie 2009..MOMOK..Jangan Panggil Aku 2011..MOMOK Jangan Cari Pasal 2012..."Rumah Sewa RM50"-2014!!.."DIA" 21 May 2015!!.

HTML for marquees

Monday, August 17, 2009

Kenyataan Akhbar Filem MOMOK The Movie!



KENYATAAN AKHBAR

PENERBITAN FILEM MOMOK THE MOVIE
DI BAWAH SKIM PINJAMAN FILEM CEREKA (SPFC)
OLEH GALAKSI SENI SDN BHD


Galaksi Seni Sdn Bhd (GSSB) merupakan syarikat yang menerbitkan filem genre seram komedi “MOMOK The Movie”, sebuah karya dan arahan sutradara yang tidak asing lagi, M.Jamil yang merupakan anak kepada primadona tanahair yang tidak asing lagi Dato’ Hajah Sarimah Ahmad.

Walaupun sebuah syarikat baru, namun kewibawaan mereka yang berada di belakang syarikat ini iaitu M.Jamil sebagai Pengarah Produksi dan Penerbit Eksekutif serta Dato’ Hajah Sarimah sebagai Pengerusi syarikat, merupakan orang lama dan sangat berpengalaman di dalam dunia seni khususnya penerbitan, tidak boleh dipandang lewa.

“MOMOK The Movie” merupakan filem terbaru arahan M.Jamil setelah menyepikan diri selama hampir 15 tahun diilhamkan daripada pementasan teater “Hantu-Hantu Yang Aku Kenali” yang dipentaskan di Istana Budaya pada tahun 2002. Memandangkan pementasan tersebut mendapat sambutan ramai, maka terbitlah VCD “MOMOK” arahan M.Jamil pada tahun 2004 dan ianya mendapat sambutan yang menggalakkan di mana jualan VCD tersebut mencecah angka 300,000 unit.

Setelah melihat sambutan orang ramai terhadap “MOMOK”, maka terlintas di fikiran M.Jamil untuk menjadikan “MOMOK” ini di dalam bentuk filem. Maka setelah berusaha selama hampir 4 tahun, maka terhasil filem “MOMOK The Movie” dengan kerjasama FINAS dan Bank SME di bawah Skim Pinjaman Filem Cereka.

Perjalanan penerbitan filem ini, sangatlah sukar dan memeritkan. Pelbagai dugaan yang terpaksa dilalui oleh M.Jamil dalam menerbitkan filem ini, termasuklah di dalam pencarian penerbit yang benar-benar mahu menerbitkan filem ini, yang tidak mempunyai niat untuk menyeleweng selain daripada menerbitkan “MOMOK The Movie”. Akhirnya, dengan izin Allah swt, maka tertubuhlah Galaksi Seni Sdn Bhd. M.Jamil berasa puashati dengan usahanya sendiri di dalam menentukan kejayaan penerbitan filem ini. Dengan izin Allah swt jua lah , filem “MOMOK The Movie” ini akan ditayangkan pada 20hb September 2009, iaitu pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri.

Bermula dengan pinjaman sebanyak RM1juta , filem ini dapat diselesaikan dengan jayanya sepertimana dirancang dan dijadualkan. Namun kini, sekali lagi pihak syarikat GSSB menghadapi dugaan di dalam mendapatkan pinjaman tambahan yang tujuannya hanyalah tidak lain untuk menampung pembelian ‘bulk print’ serta menampung kos promosi dan pengiklanan.

Sehingga kini, wang pinjaman tambahan yang telah diluluskan belum lagi diterima daripada bank. Pelbagai usaha dilakukan untuk mempercepatkan proses pengeluaran wang tersebut memandangkan tarikh tayangan umum sudah semakin hampir. Namun pihak bank masih tidak dapat memberi kata pasti bilakah wang tersebut dapat dikeluarkan.

Bagaimanakah pihak GSSB dapat melakukan rancangan promosi dan pengiklanan yang berkesan untuk menarik minat masyarakat untuk menonton filem ini sekiranya peruntukan tersebut belum diterima lagi? Umum mengetahui, rancangan promosi dan pengiklanan yang rapi amat penting di dalam menentukan sambutan masyarakat terhadap sesuatu filem.

Ke manakah harus dituju oleh pengusaha-pengusaha filem kecil seperti GSSB yang ikhlas di dalam usahanya menerbitkan sesuatu karya mengadu dan meminta bantuan apabila perkara ini berlaku? Ke mana lagi harus dituju sekiranya pergi ke pihak FINAS, FINAS mengatakan pihak bank yang bertanggungjawab. Dan apabila pergi ke pihak bank, bank pula berkata sebaliknya? Bukankah tujuan SPFC ini diwujudkan adalah membantu pengusaha-pengusaha filem tempatan?

Bukan untuk menyalahkan atau menekan mana-mana pihak, tetapi secara logiknya, ke mana lagi hendak dituju sekiranya timbul pelbagai masalah dari segi birokrasi selain daripada pihak-pihak yang tersebut di atas.

Bukan juga tidak berterima kasih dan menghargai bantuan, kerjasama serta perhatian yang diberi oleh pihak FINAS terutamanya selama ini dan juga kerjasama pihak bank di dalam usaha GSSB menerbitkan filem ini, tetapi apa yang diharapkan adalah pemahaman dan keprihatinan pihak-pihak tertentu terhadap situasi yang sedang dialami oleh pihak GSSB. Bayangkan lah, filem akan ditayangkan pada 20hb September 2009, tetapi peruntukan untuk membeli ‘bulk print’ dan menampung kos A&P belum lagi diperolehi. Bagaimanakah caranya pihak GSSB dapat memastikan sekiranya filem mereka mendapat sambutan sekiranya rancangan promosi filem mereka tidak dapat dijalankan seperti yang dirancang? Bukan untuk mengatakan pihak GSSB terlalu hebat dalam melaksanakan kerja mereka, tidak sekiranya filem mereka tidak mendapatkan sambutan yang sepatutnya disebabkan masalah kelewatan pengeluaran ini, adakah adil bagi pihak GSSB untuk menanggung kerugian seorang diri? Adakah adil sekiranya filem ini tidak berjaya mengutip hasil kutipan yang memuaskan dalam memastikan pembayaran semula pinjaman yang telah dibuat, maka pihak GSSB dipertanggungjawabkan seorang diri? Sedangkan kelewatan mempromosikan filem ini disebabkan oleh kelewatan pengeluaran wang peruntukan A&P. Dengan ini, pihak GSSB merasakan perlu pihak FINAS dan bank juga dipertanggungjawabkan bersama. Kerana tidak adil GSSB untuk menanggung kerugian sendirian.

Atau untuk menjadi adil kepada semua pihak, sekiranya perkara ini berterusan, pihak GSSB akan menarik diri daripada menayang filem ini kepada umum yang dijadualkan pada 20hb September 2009 dan meminta FINAS memberi tarikh baru yang bersesuaian dengan masa pihak bank dalam memproses pengeluaran wang tersebut. Dan kami juga meminta pihak bank untuk mengira ‘interest’ yang dikenakan bermula pada tarikh yang baru. GSSB juga tidak mahu menanggung kerugian akibat kelewatan ini.

Berikut adalah kronologi permohonan pinjaman tambahan GSSB :

1) 23hb Feb 2009 – Menghantar surat memaklumkan kepada pihak FINAS selesai penggambaran dan seterusnya bertanyakan mengenai status permohonan pinjaman tambahan berdasarkan surat FINAS no. ruj. FINAS(S) D.002/2/48 bertarikh 24hb Disember 2008 yang menyatakan bahawa permohonan pinjaman tambahan tersebut akan dipertimbangkan setelah selesai penggambaran.

2) 2hb Mac 2009 – Sekali lagi surat dihantar untuk bertanya status permohonan pinjaman tambahan.

3) 14hb April 2009 – Surat khas dihantar bertanyakan status permohonan bersertakan lampiran anggaran kos untuk pembelian ‘bulk print’ dan kos A&P.

4) 20hb April 2009 – Terima surat daripada FINAS untuk sesi ‘pitching’ pinjaman tambahan

5) 23hb April 2009 - Permohonan pinjaman tambahan kami diluluskan oleh pihak FINAS selepas sesi ‘pitching’ pada sebelah paginya dan surat dikeluarkan serta-merta.

6) 27hb April 2009 – Terima surat dari pihak bank bertarikh 24hb April 2009 memaklumkan perkara di atas.

7) 18hb Mei 2009 – Terima surat dari pihak bank yang meminta dokumen-dokumen yang dikehendaki. ( antara tempoh 27hb April sehingga mendapat surat ini, telah beberapa kali pihak kami menghubungi pihak bank untuk bertanyakan status tetapi tidak berjawab. Beberapa pucuk surat ke pihak FINAS telah kami majukan meminta bantuan pihak FINAS dalam mempercepatkan proses)

8) 26 hb Mei 2009 – Menerima surat daripada FINAS mengenai pra-tonton untuk sesi Wajib Tayang bagi menentukan tarikh tayangan umum.

9) 29hb Mei 2009 – Menghantar semua dokumen yang dikehendaki ke SME Bank (kami juga memerlukan masa di dalam menyediakan dokumen yang dikehendaki)

10) 9hb Jun 2009 – Menerima jawapan daripada FINAS tarikh tayangan umum bagi filem “MOMOK The Movie” pada 20hb September 2009.

11) 10hb Jun 2009 – Sekali lagi menghantar surat ke FINAS meminta bantuan bertanyakan pihak bank status permohonan kami.

12) Dari tarikh dokumen dihantar sehingga 18hb Jun 2009, baru mendapat maklumbalas dari pihak bank mengenai dokumen yang tidak mencukupi.

13) 22hb Jun 2009 – dokumen tambahan yang diperlukan dihantar kepada pihak bank. Semasa penyerahan dokumen, pihak kami telah berbincang dengan pihak bank meminta proses kelulusan ini dipercepatkan dan kami telah dimaklumkan jika tiada sebarang masalah, kertas kerja kami akan dibawa ke dalam mesyuarat pada 24hb Jun 2009.

14) 24hb Jun 2009 – dengan harapan yang tinggi, pihak kami menghubungi bank untuk mengetahui keputusan mesyuarat agar pihak kami dapat meneruskan rancangan yang telah dirancang walaupun setelah beberapa kali terpaksa diubahsuai mengikut masa yang diambil oleh pihak bank di dalam memproses permohonan kami. MALANGNYA sekali lagi kami dimaklumkan bahawa kertas kerja permohonan kami masih tidak dibawa masuk ke dalam mesyuarat. Ianya hanya akan dibawa masuk ke dalam mesyuarat paling awal pada 29hb Jun 2009 (Isnin) atau paling lewat 1hb Julai 2009 (Rabu). Bagaimana perancangan promosi kami yang sepatutnya telah bermula pada bulan Julai 2009?

15) 24hb Jun 2009 – Menghantar surat kepada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, YB Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim berhubungan masalah dan kelewatan yang terjadi.

16) 29hb Jun 2009 – Mendapat tahu permohonan pinjaman tambahan TIDAK DILULUSKAN oleh pihak bank melalui pangilan telefon daripada pegawai bank yang berkenaan dan menasihatkan pihak GSSB untuk membuat rayuan kepada FINAS.

17) 29hb Jun 2009 – Menghantar surat rayuan kepada pihak FINAS berkaitan permohonan pinjaman tambahan.

18) 30hb Jun 2009 - Menghantar surat permohonan membuat temujanji dengan YB Menteri Komunikasi dan Kebudayaan, YB Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim

19) 1hb Julai 2009 – Menerima surat daripada pihak bank menyatakan keputusan bank tidak permohonan telah ditolak.

20) 1hb Julai 2009 – Menerima surat maklumbalas daripada Pejabat Menteri mengenai permasalahan yang terjadi.

21) 6hb Julai 2009 – Menerima surat daripada FINAS mengekalkan keputusan MELULUSKAN permohonan pinjaman tambahan.
22) 7hb Julai 2009 - Menerima surat maklumbalas daripada Pejabat Menteri berkenaan permohonan membuat temujanji.

23) 14hb Julai 2009 – Menghantar surat meminta pihak FINAS membantu dalam mempercepatkan proses pengeluaran “Surat Tawaran” daripada pihak bank.

24) 17hb Julai 2009 – Mendapat “Surat Tawaran” daripada pihak bank.

25) 23hb & 31hb Julai 2009 – Menghantar segala dokumen yang diperlukan bagi proses pengeluaran bank.

26) 31hb Julai – 4hb Ogos 2009 - berkomunikasi dengan pihak peguam untuk proses undang-undang.


27) 4hb Ogos 2009 – Arahan (Advice) daripada pihak peguam kepada pihak bank (Legal Dpt) telah dikeluarkan.

28) 7hb Ogos 2009 – NCLD daripada Legal Dpt pihak bank telah dikeluarkan untuk proses pembayaran.

29) 11hb Ogos 2009 – Menghantar dokumen tambahan yang diperlukan bagi proses pengeluaran wang.

30) 12hb Ogos 2009 (awal pagi) – Dihubungi oleh pihak bank, pembayaran akan dibuat pada selewat-lewatnya Jumaat 14hb Ogos 2009. GSSB berharap tiada sebarang kelewatan lagi berlaku. GSSB mempunyai kurang daripada seminggu untuk melakukan ‘roadtour’??? GSSb mengharapkan keajaiban akan berlaku.

31) 12hb Ogos 2009 (lewat petang) – Mendapat perkhabaran daripada pihak bank bahawa sebahagian wang pinjaman tambahan (peruntukan untuk roadtour) tidak akan dibayar kepada pihak GSSB kerana perbelanjaan tersebut belum berlaku lagi. Ianya hanya akan dibayar setelah pihak GSSB mengemukakan semua resit dan bukti perbelanjaan. Bagaimana GSSB boleh melakukan program roadtour sekiranya peruntukan itu ditahan? Dan secara tiba-tiba kami diarah untuk menandatangani ‘Surat Akujanji’ penyerahan hakcipta sekiranya filem ini gagal/tidak disiapkan. Apa yang cuba disampaikan di sini? Filem “MOMOK The Movie” ini telah berjaya disiapkan dengan jayanya, hanya menunggu masa untuk ditayangkan pada 20hb September 2009. Yang menjadi masalah sekarang, peruntukan untuk menampung kos pembelian ‘bulk print’ dan A&P masih lagi belum diterima bagi membolehkan pihak GSSB melaksanakan perancangan promosi dan pengiklanan.

Apakah kesudahan atau sampai bilakah kerenah birokrasi seperti ini dapat di atasi. Sepatutnya dengan adanya SPFC ini, tidak perlulah pihak pengusaha filem bersusah payah untuk mendapatkan bantuan. Tidak hairan kenapa ramai di luar sana mencari alternatif lain untuk mendapatkan bantuan kewangan kerana sememangnya kerenah dan syarat pinjaman yang dikenakan kadang-kadang merumitkan lagi keadaan.

Akhirnya, dengan keprihatinan dan bantuan Ketua Pengarah FINAS sendiri, En Mohd Mahyidin Mustakim dan pegawai Unit Dana Tn. Hj. Zulkefli Yadi permasalahan ini dapat diselesaikan. En. Mohd Mahyidin dan Tn. Hj Zulkefli sendiri turun ke bank bersemuka dengan mereka yang berkenaan untuk mencari penyelesaian masalah birokrasi yang merumitkan ini. Ucapan jutaan terima kasih kepada En. Mohd Mahyidin Mustakim dan Tn. Hj. Zulkefli di atas bantuan dan keprihatinan yang diberikan, yang telah menjadi ‘HERO’ kepada MOMOK The Movie.


GALAKSI SENI SDN BHD
No. 18-1, Jalan Bukit Setiawangsa
Taman Setiawangsa,
54200 Kuala Lumpur

No comments: