Wednesday, July 31, 2013

Mayumi: Mengilai jam 2 pagi - Rumah Sewa RM50!

Mayumi: Mengilai jam 2 pagi


Tuah nyata tidak menyebelahi artis berdarah kacukan Melayu, Korea dan Jepun, Mayumi Kasuga, apabila album sulung yang sepatutnya memperkenalkan namanya di persada muzik tanah air pada 2003 terperap begitu saja apabila syarikat rakaman dinaunginya menghadapi masalah.
Selepas apa yang berlaku, selama lima tahun Mayumi bergerak sendiri dan cuba mencari tapak dalam industri muzik, namun usaha gadis berkulit putih gebu ini gagal. Rasa kecewa me­nyesakkan dadanya, namun anak sulung daripada dua beradik ini tetap tidak mahu mengalah kerana sejak kecil dia suka menyanyi.
Peluang dan ruang terus dicari tanpa henti, malah dia cuba berlakon jika itu membolehkannya mencipta nama dalam bidang seni. Hasilnya dia sempat muncul dalam beberapa drama seperti Raja Tom Yam, Ubat Rindu, Bintang, Maafkan Aku Papa, Shuffle Milikku dan Shah Rukh Khan Datang Kampung.

Namun, sinar kejayaan masih tidak kelihatan hinggalah awal tahun ini apabila dia ditawarkan berlakon dalam filem seram arahan M Jamil berjudul Rumah Sewa RM50 selaku watak utama sebagai Cassandra.


Bersemangat menceritakan pembabitannya dalam filem itu, jelasnya, dia memang suka menonton filem seram kerana sarat dengan unsur suspens. Justeru, apabila tawaran berlakon dalam filem genre sedemikian datang kepadanya, dia terus terima lantas mengharapkan kemunculannya dalam filem itu dapat menebus kekecewaan lalu.

Foto
“Penggambaran filem itu dilakukan di Gunung Se­nyum di Pahang. Gunung itu amat indah pada siang hari dan ada trek untuk mendaki ke puncaknya, namun apabila diselubungi malam ia bertukar seram. Chalet penginapan pelakon dan kru produksi menghadap gunung berkenaan, tetapi jarang sekali saya melihat ke arahnya.

“Situasi sedemikian amat bertepatan dengan jalan cerita Rumah Sewa RM50. Pengalaman yang paling tidak dapat dilupakan apabila saya sedang menjalani penggambaran babak mengilai pada jam 2 pagi. Sebaik saya habis mengilai, tiba-tiba dari kejauhan sayup-sayup kedengaran suara mengilai yang membuatkan saya, pengarah dan beberapa kru terdiam.

“Kami perlahan-lahan beredar dari lokasi dan masing-masing yang faham dengan apa yang berlaku tidak bersuara dan buat tak tahu saja. Ini kerana orang tua selalu berpesan, jika ternampak atau terdengar benda pelik di tempat seperti itu, usah ditegur,” katanya.

Mayumi berkata, apabila pulang ke chalet, dia sekali lagi terasa ‘diganggu’ apabila merasakan ada ‘sesuatu’ yang melintasi di luar ting­kap bilik dihuninya itu.

“Saya anggap ia mainan perasaan dan tidak mahu terlalu memikirkannya. Penggambaran yang berlangsung selama dua minggu terasa lama sekali. Namun, saya hargai setiap apa yang dilalui sepanjang penggambaran filem itu,” katanya.

Filem Rumah Sewa RM50 berdasarkan kisah benar yang berlaku di Shah Alam, Selangor mengenai sebuah rumah misteri di mana pemiliknya sanggup meletakkan harga sewa yang amat murah berikutan pelbagai peristiwa pelik dialami penyewa rumah berkenaan. Ia dijangka ditayangkan pada hujung tahun ini.

Dalam pada itu, Mayumi turut berterima kasih kepada M Jamil yang memandang tinggi bakat lakonannya, sekali gus mengharapkan filem itu memberi impak yang besar kepada kerjaya seni­nya.


Artikel ini disiarkan di HARIAN METRO pada : 2013/07/31

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.