Sunday, March 21, 2010

Siapa yang nak jadi jahat?? Angkat tangan......

Golongan artis adalah golongan mereka yang mempunyai citarasa seni yang tinggi. Mereka umpama lilin yang membakar diri untuk menerangi kegelapan. Gelaran sebagai artis bukan mudah untuk dimiliki tanpa anugerah bakat dan kejayaan individu bergelar artis ini memberikan impak kepada masyarakat. Seseorang artis berjaya menarik minat ramai untuk meminatinya kerana personaliti dan bakat yang mereka tunjukkan. Gelaran artis tidak wajar diberi atau dimiliki jika sekadar glamor tanpa bakat dan publisiti tidak wajar diberikan sewenang-wenangnya oleh pihak media.
Golongan artis sering dilabelkan sebagai anak wayang atau bangsawan yang berakhlak rendah. Tanggapan seperti ini harus diperbetulkan oleh semua. Jangan mudah melabelkan artis bila berlaku setiap perkara yang negatif. Jangan bersikap hipokrit dan mudah menunding jari kononnya artislah punca segala masaalah sosial. Jangan menjadikan golongan artis sebagai `kambing hitam' bila berlaku perkara yang negatif. Kita mudah lupa golongan artis pernah menggembirakan hati dan menghiburkan hati kita semua dengan bakat mereka. Kita juga mudah lupa golongan artis juga banyak membawa nilai-nilai positif dengan bakat dan karya mereka ke dalam kehidupan kita. Kalau kerajaan kita sudah mengiktiraf sumbangan golongan artis kita, kita harus sama-sama hormat menghormati sesama kita.
Buruk baik yang berlaku dalam kehidupan adalah fitrah manusia. Semua orang mahu jadi baik. Siapa nak jadi jahat? Setiap yang berlaku mesti ada sebab musababnya. Mesti ada hikmahnya yang tersendiri. Bukankah tanggungjawab kita saling ingat mengingati antara kita? Perbetulkan mana yang salah. Eratkan lagi mana-mana hubungan yang sedia terjalin. Buangkan sifat dengki yang ada. Selesaikan kemelut yang sedia ada sekarang kerana masaalah yang ada sekarang adalah berpunca pada sikap kita sendiri. Jangan sesekali mempolitikkan hal sebegini. Jangan pula suka membuka aib saudara kita sendiri.
Agak-agak dan fikirlah sendiri sebelum kita mudah meletakkan kesalahan pada orang lain. Lihatlah sekeliling kita dengan segala perkara yang negatif sedang berlaku. Kepada Seniwati Azean Herdawaty...harap bersabarlah dengan musibah yang menimpa Benjy..InsyaAllah..apa yang berlaku ada hikmahnya. Jangan mudah kita menjatuhkan hukuman sendiri selagi tiada keputusan di buat oleh pihak yang berwajib...Ingat semua..setiap perkara yang berlaku ada sebab musabab dan hikmahnya...Siapa yang suka-suka nak jadi jahat?.....Momok...Jangan Panggil Aku...

Monday, March 15, 2010

Assalamualaikum.....Terima kasih......

Dunia seni tempatan tidak seharusnya disensasikan sama seperti dunia seni barat..Sebabnya mudah saja..kita mempunyai budaya dan adat ketimuran yang harus dipertahankan dan yang paling penting pendukung utamanya rata-rata beragama Islam. Ini tidak bermakna kita tidak boleh mengikut aliran perkembangan terkini khususnya dari segi teknologi tetapi biarlah ianya berpada-pada dan ada hadnya. Percaya, suka atau tidak, kita semakin kehilangan identiti kita. Sesetengah media massa dan elektronik semakin memainkan peranan yang agak keterlaluan dalam mensensasikan berita-berita artis hanya dengan satu sebab yang nyata- untuk satu tujuan, bisnes .
Lihat saja berapa jumlah rancangan di televisyen dan jumlah majalah hiburan yang berunsurkan hiburan di industri kita yang sekangkang kera ini? Apakah petandanya? Sesetengah artis dan mereka yang teringin mendapat gelaran artis pun galak mencari cara untuk meraih publisiti yang kadangkala murahan. Ada juga artis yang sanggup memburukkan dunia artis sendiri demi meraih populariti, ibarat membuka pekung di dada dan meludah ke langit.
Artis juga manusia biasa..mereka yang teringin jadi artis juga manusia biasa. Yang membezakan kita adalah tahap keimanan, budi pekerti, bakat, usaha, ketelusan dan keikhlasan kita. Kita sama-sama harus berusaha menaikkan darjat kita sendiri di sisi Tuhan. Tidak dapat tidak kita tidak boleh lari dari pegangan agama dalam menjalani kehidupan kita. InsyaAllah, jika agama di jadikan pedoman hidup, kita akan ada keikhlasan, jati diri dan matlamat hidup. Rezeki di tangan Tuhan namun kita harus berusaha dan hidup bermuafakat. Hidup saling faham memahami dan berterima kasih sesama manusia dan bukan berlagak bodoh sombong dan mengaibkan diri sendiri dan sesama kita.
"Kadang kala kita meminta kepada Allah setangkai bunga yang indah, tapi Allah SWT berikan kaktus yang berduri. Kita meminta kupu-kupu, tapi diberikan ulat. Kita pun sedih, kecewa bahkan marah! Namun kemudian kaktus itu berbunga indah sekali dan ulat itu menjadi kupu-kupu yang cantik. Itulah jalan Allah SWT, indah pada waktunya! Allah tidak memberi apa yang kita harapkan, tapi Allah SWT memberikan apa yang kita perlukan. Kadang kala kita sedih,kecewa, terluka dan berburuk sangka. Tapi jauh di atas segalanya, Allah sedang merangkai yang Terbaik dalam kehidupan kita...Agar kita belajar untuk selalu ikhlas dan redha...."
Sabda Rasulullah SAW
Orang yang di paling bersyukur kepada Allah ialah orang yang paling banyak berterima kasih kepada manusia.
(Riwayat At-Tabrani)
Al-Fatihah buat ikon saya Allayarham Tan Sri P.Ramlee