Tiada tapisan filem mulai 2012
Oleh HAKIMI ISMAIL
utusanputrajaya@utusan.com.my
"PUTRAJAYA 21 Dis. - Berkuatkuasa tahun hadapan, Lembaga
Penapis Filem (LPF) tidak lagi menapis sesebuah filem sebelum ditayangkan,
sebaliknya peranan tersebut akan diserahkan kepada pengarah dan penerbit filem
itu sendiri.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Mahmood Adam berkata,
langkah terbaru itu diambil selepas mengambil kira pandangan daripada semua
pihak yang menjayakan industri perfileman negara.
Bagaimanapun katanya, jika terdapat masalah berbangkit mengenai sesebuah
filem yang ditayangkan, maka penerbit dan pengarah filem berkenaan perlu
bertanggungjawab.
"Dengan kelulusan cadangan tersebut, saya harap semua pihak mengambil iktibar
dan tidak mengunakan kelonggaran tersebut sebagai batu loncatan untuk memasukkan
adegan-adegan yang melampau dalam sesebuah filem demi untuk mengaut keuntungan
semata-mata.
"Suka saya tegaskan, mereka perlu bertanggungjawab dengan segala masalah yang
timbul ekoran penerbitan filem mereka. Oleh itu mereka sendiri perlu menilai
cita rasa penonton di negara ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Hala Tuju
Kawalan dan Penapisan Filem di Malaysia anjuran Bahagian Kawalan Penapisan Filem
dan Penguatkuasaan Kementerian Dalam Negeri di sini, hari ini.
Terdahulu Mahmood turut menyampaikan Anugerah Penggiat Filem kepada Penerbit
Skop Production, Datuk Yusof Haslam, Penerbit Metrowealth (MIG), David Teo dan
seorang penggiat filem dan penulis, Dr. Asiah Sarji
Menurut Mahmood, kementerian juga akan memainkan peranan untuk memberikan
penerangan kepada penonton terhadap sesebuah filem mengikut genre
masing-masing.
"Antara langkah yang akan diambil kementerian ialah meletakkan keterangan
mengenai sesebuah filem di skrin pawagam sebelum ia ditayangkan.
"Langkah ini juga diambil demi memenuhi kehendak rakyat yang mahukan
kebebasan dalam industri perfileman, tetapi rakyat jangan lupa jika ada filem
barat yang ditayangkan mengandungi unsur-unsur bertentangan dengan akidah atau
agama mereka perlu menilai sendiri untuk menonton atau tidak," katanya.
Sementara itu katanya, mana-mana filem yang telah menjalani proses penapisan
LPF sebelum ini boleh memohon semula untuk mendapatkan kelulusan bagi
ditayangkan tanpa sebarang tapisan.
"Ini bagi memastikan keadilan kepada semua pihak termasuk penerbit filem
terdahulu yang terpaksa menjalani proses tapisan filem ketat sebelum ia
dibenarkan untuk tayangan," katanya.
Dalam pada itu katanya, jika terdapat masalah berbangkit mengenai sesebuah
filem luar negara yang dibawa untuk ditayangkan di negara ini, kementerian akan
memanggil syarikat yang bertanggungjawab membawa masuk filem terbabit untuk
mendapat penjelasan."
Apa tujuan Lembaga Penapis Filem (LPF) ni? Sepatutnya mereka yang mempunyai kepakaran masing-masing harus menumpukan kerja di bidang masing-masing. Kalau sesuatu pekerjaan diberikan kepada mereka yang bukan ahli atau pakar di bidang tersebut, maka akan jadi hura-hara dan carca-marba kerja tu. Apa kena dengan LPF ni? Apa nak jadi dengan masa depan industri perfileman tanahair! Cerdik tak bertempat....Memberi kebebasan tak kena caranya..Janganlah mudah melepaskan tanggungjawab dan amanah anda LPF dengan alasan kononnya untuk beri kebebasan! Fikirkanlah implikasinya sikit..MasyaAllah..