Flying bat in a marquee
MOMOK The Movie 2009..MOMOK..Jangan Panggil Aku 2011..MOMOK Jangan Cari Pasal 2012..."Rumah Sewa RM50"-2014!!.."DIA" 21 May 2015!!.

HTML for marquees

Friday, April 16, 2010

MJPA bersama SM. SAINS MUAR 'Samura Handball Team' 2010!


Tahniah buat Pasukan Bola Baling Perempuan Sekolah Sains Muar, Johor yang telah menjadi johan kumpulan dan keseluruhan perempuan 18 tahun dan seterusnya akan mewakili daerah ke peringkat Johor! Perlawanan peringkat akhir akan diadakan pada 23-25 April di Karnival Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia 2010.
Tahniah buat SM. Sains Muar khususnya pelajar@pemain dan jurulatih pasukan bola baling bawah 18 tahun,Puan Siti Nor Mohd Tahir. Momok..Jangan Panggil Aku@Galaksi Seni Sdn. Bhd berbangga dapat memberi sedikit sumbangan berupa jersi pasukan kepada pasukan ini. Kerjasama yang terjalin ini sangat kami hargai.
Alhamdulillah, SM. Sains Muar dengan reputasi tinggi sebagai sekolah berasrama penuh dan prestij akademi cemerlang juga berjaya dalam bidang sukan.
Momok..Jangan Panggil Aku dalam rangka strategi mempromosikan filem ini tumpang berbangga dengan kesungguhan,komitmen dan kecemerlangan yang telah ditunjukkan oleh para pelajar . Kesungguhan dan pencapaian ini seharusnya menjadi contoh kepada para remaja dan pelajar di seluruh Malaysia.
InsyaAllah, Galaksi Seni Sdn Bhd @ Momok..Jangan Panggil Aku terus memberikan sokongan di masa akan datang jika diperlukan. Selagi lagi tahniah di ucapkan kepada pasukan bola baling Perempuan Sekolah Menengah Sains Muar 2010 dan semoga mencapai kejayaan yang diharapkan.

Sekolah Menengah Sains Muar
Tanjung Agas, 84009 Ledang, Johor
Website: www.sainsmuar.edu.com

Tuesday, April 13, 2010

Politik di mana-mana....Di Belakang Tabir Industri Perfileman Kita

Pilihanraya kecil Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini pastinya menjadi tumpuan umum. Bagi mereka yang mengikuti perkembangan politik tanahair pastinya tahu betapa 'panas' dan pentingnya pilihanraya ini kepada senario politik tempatan. Bagi 'mereka' yang faham juga pasti tahu apa yang sebenarnya berlaku di sebalik tabir pilihanraya.

Kita alihankan subjek kita kepada politik di belakang tabir industri perfileman kita. Banyak poltiknya..siapa 'playmakers','wrongdoers' dan 'culprit'nya? Kepada mereka yang faham dan mengikuti perkembangan industri perfileman pastinya mempunyai pelbagai perasaan terbuku di hati yang tak dapat diluahkan. Suka atau tidak demi satu 'survival', terpaksa juga ditempuhi apa jua ketidakpuasan hati.

Tapi langit tidak selalu cerah..pantai pun pasti berubah setiap kali air bah dan terjahan ombak dan tidak harus dilupai, apa yang boleh di ubah oleh Tsunami!
Namun biarlah perkara ini diterjemahkan sejelas-jelasnya dengan bukti kelak..'Bangkai gajah tak boleh disorok..sebesar zarah baik buruknya lambat laun akan terbalas...InsyaAllah bukti yang terkumpul dapat dikongsi bersama kelak.

Sama-samalah kita berdoa untuk mendapatkan berkat dan kerahmatan dari Allah dalam kehidupan kita yang tidak kita tahu detik penamatnya.

Sunday, March 21, 2010

Siapa yang nak jadi jahat?? Angkat tangan......

Golongan artis adalah golongan mereka yang mempunyai citarasa seni yang tinggi. Mereka umpama lilin yang membakar diri untuk menerangi kegelapan. Gelaran sebagai artis bukan mudah untuk dimiliki tanpa anugerah bakat dan kejayaan individu bergelar artis ini memberikan impak kepada masyarakat. Seseorang artis berjaya menarik minat ramai untuk meminatinya kerana personaliti dan bakat yang mereka tunjukkan. Gelaran artis tidak wajar diberi atau dimiliki jika sekadar glamor tanpa bakat dan publisiti tidak wajar diberikan sewenang-wenangnya oleh pihak media.
Golongan artis sering dilabelkan sebagai anak wayang atau bangsawan yang berakhlak rendah. Tanggapan seperti ini harus diperbetulkan oleh semua. Jangan mudah melabelkan artis bila berlaku setiap perkara yang negatif. Jangan bersikap hipokrit dan mudah menunding jari kononnya artislah punca segala masaalah sosial. Jangan menjadikan golongan artis sebagai `kambing hitam' bila berlaku perkara yang negatif. Kita mudah lupa golongan artis pernah menggembirakan hati dan menghiburkan hati kita semua dengan bakat mereka. Kita juga mudah lupa golongan artis juga banyak membawa nilai-nilai positif dengan bakat dan karya mereka ke dalam kehidupan kita. Kalau kerajaan kita sudah mengiktiraf sumbangan golongan artis kita, kita harus sama-sama hormat menghormati sesama kita.
Buruk baik yang berlaku dalam kehidupan adalah fitrah manusia. Semua orang mahu jadi baik. Siapa nak jadi jahat? Setiap yang berlaku mesti ada sebab musababnya. Mesti ada hikmahnya yang tersendiri. Bukankah tanggungjawab kita saling ingat mengingati antara kita? Perbetulkan mana yang salah. Eratkan lagi mana-mana hubungan yang sedia terjalin. Buangkan sifat dengki yang ada. Selesaikan kemelut yang sedia ada sekarang kerana masaalah yang ada sekarang adalah berpunca pada sikap kita sendiri. Jangan sesekali mempolitikkan hal sebegini. Jangan pula suka membuka aib saudara kita sendiri.
Agak-agak dan fikirlah sendiri sebelum kita mudah meletakkan kesalahan pada orang lain. Lihatlah sekeliling kita dengan segala perkara yang negatif sedang berlaku. Kepada Seniwati Azean Herdawaty...harap bersabarlah dengan musibah yang menimpa Benjy..InsyaAllah..apa yang berlaku ada hikmahnya. Jangan mudah kita menjatuhkan hukuman sendiri selagi tiada keputusan di buat oleh pihak yang berwajib...Ingat semua..setiap perkara yang berlaku ada sebab musabab dan hikmahnya...Siapa yang suka-suka nak jadi jahat?.....Momok...Jangan Panggil Aku...

Monday, March 15, 2010

Assalamualaikum.....Terima kasih......

Dunia seni tempatan tidak seharusnya disensasikan sama seperti dunia seni barat..Sebabnya mudah saja..kita mempunyai budaya dan adat ketimuran yang harus dipertahankan dan yang paling penting pendukung utamanya rata-rata beragama Islam. Ini tidak bermakna kita tidak boleh mengikut aliran perkembangan terkini khususnya dari segi teknologi tetapi biarlah ianya berpada-pada dan ada hadnya. Percaya, suka atau tidak, kita semakin kehilangan identiti kita. Sesetengah media massa dan elektronik semakin memainkan peranan yang agak keterlaluan dalam mensensasikan berita-berita artis hanya dengan satu sebab yang nyata- untuk satu tujuan, bisnes .
Lihat saja berapa jumlah rancangan di televisyen dan jumlah majalah hiburan yang berunsurkan hiburan di industri kita yang sekangkang kera ini? Apakah petandanya? Sesetengah artis dan mereka yang teringin mendapat gelaran artis pun galak mencari cara untuk meraih publisiti yang kadangkala murahan. Ada juga artis yang sanggup memburukkan dunia artis sendiri demi meraih populariti, ibarat membuka pekung di dada dan meludah ke langit.
Artis juga manusia biasa..mereka yang teringin jadi artis juga manusia biasa. Yang membezakan kita adalah tahap keimanan, budi pekerti, bakat, usaha, ketelusan dan keikhlasan kita. Kita sama-sama harus berusaha menaikkan darjat kita sendiri di sisi Tuhan. Tidak dapat tidak kita tidak boleh lari dari pegangan agama dalam menjalani kehidupan kita. InsyaAllah, jika agama di jadikan pedoman hidup, kita akan ada keikhlasan, jati diri dan matlamat hidup. Rezeki di tangan Tuhan namun kita harus berusaha dan hidup bermuafakat. Hidup saling faham memahami dan berterima kasih sesama manusia dan bukan berlagak bodoh sombong dan mengaibkan diri sendiri dan sesama kita.
"Kadang kala kita meminta kepada Allah setangkai bunga yang indah, tapi Allah SWT berikan kaktus yang berduri. Kita meminta kupu-kupu, tapi diberikan ulat. Kita pun sedih, kecewa bahkan marah! Namun kemudian kaktus itu berbunga indah sekali dan ulat itu menjadi kupu-kupu yang cantik. Itulah jalan Allah SWT, indah pada waktunya! Allah tidak memberi apa yang kita harapkan, tapi Allah SWT memberikan apa yang kita perlukan. Kadang kala kita sedih,kecewa, terluka dan berburuk sangka. Tapi jauh di atas segalanya, Allah sedang merangkai yang Terbaik dalam kehidupan kita...Agar kita belajar untuk selalu ikhlas dan redha...."
Sabda Rasulullah SAW
Orang yang di paling bersyukur kepada Allah ialah orang yang paling banyak berterima kasih kepada manusia.
(Riwayat At-Tabrani)
Al-Fatihah buat ikon saya Allayarham Tan Sri P.Ramlee

Monday, February 22, 2010

Tayangan MOMOK The Movie di Hari Terbuka Finas.


Hari Terbuka Finas yang berlangsung pada 20-21 hb Februari yang lalu sememangnya meriah. Pelbagai aktiviti yang disediakan oleh pihak Finas telah berjaya menarik ramai pengunjung. Antara aktiviti menarik yang telah disediakan ialah penayangan 5 filem secara percuma kepada para pengunjung, Lima buah filem tersebut ialah Papadom, My Spy, Bohsia...Jangan Pilih Jalan Hitam, Jangan Pandang Belakang Congkak dan MOMOK..The Movie (MTM). Boleh dikatakan kelima-lima filem yang telah ditayangkan telah mendapat sambutan hebat dari para pengunjung.

Tidak terkecuali, MOMOK..The Movie telah mendapat sambutan yang meriah dari ramai pengunjung. Pihak pengurusan Galaksi Seni Sdn.Bhd yang menerbitkan filem MTM telah mengambil kesempatan ini untuk memperomosikan filem yang bakal mereka terbitkan iaitu MOMOK..Jangan Panggil Aku serta telah mengedarkan lebih 250 keping 'desk Calender' untuk mereka yang datang menonton MTM.

Usaha pihak Finas menganjurkan Hari Terbuka Finas ini telah berjaya mendekatkan masyarakat dengan industri perfileman dan juga penglibat seni tanahair.

Thursday, February 18, 2010

Hari Terbuka Finas 20-21hb! Sedia Pelbagai Aktiviti Menarik



Hari Terbuka Finas

Sabtu , Februari 20, 2010
Ahad, Februari 21, 2010
Lokasi: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS)
Kompleks Studio Merdeka
Lot 1662, Bt 8, jalan Hulu Kelang
68000 Ampang, Selangor
(Bersebelahan dengan Zoo Negara Malaysia)


Program Hari Terbuka FINAS edisi kedua yang bakal berlangsung selama dua hari bermula 20 dan 21 Februari (Sabtu & Ahad) turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik kepada para pengunjung. Program bertemakan FILEM CITRA 1MALAYSIA ini adalah bagi memberi peluang kepada orang ramai mengenali lebih dekat peranan FINAS dalam agenda pembangunan industri filem Malaysia. Ia juga adalah kesinambungan Program Merakyatkan Filem yang dijalankan FINAS sejak tiga tahun lalu.


“Pada tahun ini juga, FINAS akan mengadakan Mini Konsert- Inde Gempak yang menampilkan persembahan bertemakan lagu-lagu filem. Antara artis yang akan membuat persembahan ialah Azlan The Typewriter, Emylia, Kumpulan Bau, Deja Voo Doo-Spell dan Pure Vibracion.

Manakala segmen tayangan filem cereka dan dokumentari terbitan FINAS membariskan filem cereka Filem 'Papadom’, ‘My Spy’, ‘Momok The Movie’, ‘Bohsia… Jangan Pilih Jalan Hitam’, ‘Jangan Pandang Belakang Congkak’ serta empat dokumentari terbitan FINAS (Jean Perera; The Beauty Queen Murder, Bangunan Sultan Abdul Samad, Spell Bound; Crime Of The Mind dan Among The Great Apes : With Michell Yeoh) juga ditayangkan secara percuma di Pawagam Mini P. Ramlee.


"FINAS berharap agar orang ramai dan penggiat industri khususnya dapat meluangkan masa mengikuti aktiviti yang telah dirancang sempena Hari Terbuka FINAS. Bagi memberi ruang kepada orang ramai dan warga filem memberi pandangan dan cadangan, kita telah menyediakan kaunter khas bagi tujuan tersebut sepanjang tempoh program berlangsung", tambah Mahyidin.


(Nota: Tayangan Filem : Momok The Movie di Pawagam Mini P.Ramlee pada Ahad 21hb. Februari jam 11:00 - 12.30 Tengahari)


Jadual penuh aktiviti2 menarik, sila rujuk kepada link dibawah:
http://www.finas.gov.my/index.php?mod=news&id=111

(Source: www.finas.gov.my)

Bersama Permaisuri di lokasi Janda Baik.........





Momok..Jangan Panggil Aku (MJPA) masih tercari-cari lokasi yang sesuai untuk penggambarannya...pencarian lokasi oleh team MJPA turut disertai oleh sifu paranormal, Abdullah Hussien Alattas @ uncleseekers. Pencarian lokasi MJPA bertambah seri dan meriah dengan kehadiran bekas Raja Permaisuri Agong, Tuanku Siti Aishah bt. Abdul Rahman.
MJPA yang menggunakan kemudahan Dana: Skim Pinjaman Filem Cereka (SPFC) dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) - insyaAllah, dijangka akan memulakan penggambarannya pada awal bulan April 2010 sebaik sahaja mendapat 'lampu hijau' dari Finas dan selesai segala urusan pemilihan para pelakon dan persiapan.

Friday, February 12, 2010

Gong Xi Fa Cai



Greetings........

Happy New Year..Selamat Tahun Baru Cina..Gong Xi Fa Cai kepada semua rakan berbangsa Cina yang menyambutnya..and may the Year of the Tiger bless you with good health,long life,wisdom to keep on fighting for harmony for our beloved country.


Sincere Regards
Momok...Jangan Panggil Aku...............

Sunday, February 7, 2010

"Bikin Filem... Kreativiti, Pengetahuan, Jujur dan Amanah......"


Susah senang untuk menerbitkan filem di Malaysia hanya diketahui oleh mereka-mereka yang terlibat sahaja. Penerbit bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan masaalah budget, karyawan, syarat-syarat penerbitan tetapi juga `politiking' pihak-pihak tertentu. Industri perfileman tempatan tidaklah sebesar mana tetapi kerana betapa glamornya industri ini, ianya mengundang perhatian ramai. Masing-masing yang terlibat mahu menonjolkan dan mencipta nama dan menumpang tuah untuk turut glamor. Namun hakikatnya industri perfileman ini sebenarnya harus berkisar pada sudut seni yang kreatif yang memerlukan mereka-mereka yang jujur, berbakat, berpengetahuan untuk mendukungnya. Seni akan pudar seninya jika unsur politik, glamor, hipokrasi, ringgit semata-mata dijadikan sebagai sandaran seni.

Sebenarnya apa bidang pun mempunyai masaalah yang hampir sama. Tidak terkecuali bidang sukan, pertanian, perniagaan dan lain-lain. Tiap-tiap bidang pasti ada pembabitan politiknya yang tersendiri. Tidak dinafikan pembabitan orang politik perlu dalam setiap bidang yang dinyatakan di atas untuk bersaing maju dengan bidang-bidang lain. Namun biarlah pembabitan dikalangan mereka-mereka ini terdiri dari mereka yang komited dan berpengetahuan dan bukan semata-mata kerana kepentingan politik peribadi mereka. Lihat sahaja bidang sukan di eropah, industri filem di Thailand, India apatah lagi di Hollywood, kenapa bidang-bidang yang dinyatakan begitu bergaya dan berjaya? .....Kombinasi bijak pandai mereka-mereka yang berlainan bidang bersama mereka-mereka yang berkuasa hanya fokus pada bidang yang ingin mereka jayakan.

Mungkinkah kombinasi Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Lembaga Penapis Filem (LPF) dan berpuluh persatuan hiburan bak cedawan tumbuh selepas hujan mampu menglamorkan industri hiburan tempatan setaraf dengan kualiti dan kemajuan industri negara yang telah maju? Malaysia Boleh...Tentu Boleh? Kalau bukan sekarang bila lagi kita nak melangkah maju...? Kerajaan melalui kepimpinan PM kita, Yang Amat Berhormat Dato' Sri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak telah memberi pelbagai bantuan, saranan dan motivasi kepada kita semua supaya lebih berani, jujur dan amanah dalam menghadapi hidup di alaf ini. Bak kata PM, "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" .Rakyat negara ini adalah rakyat yang bijak, berbakat dan bersemangat tinggi, oleh yang demikian, jika kita ingin mengecapi kejayaan, maka kita harus berani dan tegas bagi melaksanakan perubahan dan pembaharuan dengan jujur. Pengorbanan pula perlu untuk meningkatkan produktiviti, daya saing serta menguasai ilmu untuk berdaya saing di peringkat global. Kurangkan berpolitik tingkatkan produktiviti yang berkualiti. Kita juga perlu jujur dengan kerja atau tugasan yang diamanahkan.

Sunday, January 17, 2010

Di sekitar Hari-Hari Terakhir Ujibakat "MOMOK..Jangan Pangil Aku"




Ramai yang berbakat telah menghadiri ujibakat bagi filem "MOMOK...Jangan Panggil Aku.."(MJPA) namun kesesuaian watak dan kurang persediaan rapi dari para peserta menyebabkan pemilihan menjadi sukar bagi para juri. Namun begitu, 15 peserta sedang di shorlisted untuk mengisi beberapa watak yang di cari.
Watak Qaseh, antara watak utama MJPA, sebagai novelis seram masih di cari. Watak ini memerlukan seorang wanita berumur dalam likungan 20 -30'an, mempunyai ketinggian sekurang-kurangnya 5' 2', berambut panjang, berasal dari Sabah dan mempunyai personaliti dan pengetahuan yang menarik dalam bidang penulisan.

Sesiapa yang mempunyai kriteria yang dinyatakan sila hubungi 03-42574858 atau emailkan photo dan biodata ke galaxyseni@yahoo.cim dengan seberapa segera.

Thursday, January 14, 2010

Di Sekitar Ujibakat "MOMOK..Jangan Panggil Aku.."13&14 Jan......



Masih lagi tercari-cari bakat-bakat baru yang khusus digandingkan dengan barisan kemungkinan pelakon Momok..Jangan Panggil Aku (MJPA) seperti Dato' Seniwati Sarimah, Arif S.Shamsudin, Zahida Rafiq, Jalil Hamid, Azzarima Elite, Uncle Seekers dan ramai lagi. Banyak yang berpontensi tetapi pemilihan masih dibuat. Pencarian masih dilakukan. bakat dari Sabah masih tidak ditemui. Ramai yang berbakat tetapi masih kurang bersedia untuk menunjukkan bakat mereka. Berlakon adalah satu bidang kerjaya yang professional dan memerlukan skil, ilmu dan bukan bergantung pada bakat dan paras rupa dan mengejar glamor sahaja.
Panel pemilihan ujibakat..Tokwan, Uncle Seekers dan Rafi Khan berusaha keras untuk mencungkil bakat-bakat baru bagi watak-watak yang terdapat dalam MJPA. Semoga usaha mencari bakat baru terhasil dalam proses ujubakat yang diadakan selama 3 hari ini.

Wednesday, January 6, 2010

Tips untuk ujibakat filem "MOMOK..Jangan Panggil Aku"

Kepada mereka yang berminat dan akan menghadiri ujibakat bagi filem MOMOK...Jangan Panggil Aku pada 13, 14 dan 15 Januari ini di pejabat Galaksi Seni Sdn. Bhd.,pastikan anda bersedia dan tahu jenis perwatakan yang dikehendaki.
A) Wanita berumur 18-30'anwanita berketurunan Melayu, Cina, India layak memohon dengan syarat fasih berbahasa kebangsaan.
Mempunyai ketinggian sekurang-kurangnya 5 kaki. Bertubuh langsing dan berambut panjang.
Tidak memakai kacamata.
Boleh menunggang motosikjal dan memandu kereta.
Mereka yang berasal dari Sabah, Sarawak dan Brunei digalakkan menghadiri ujibakat ini.

1) Mempunyai personaliti yang menarik. Satu (1) watak sebagai penulis novel seram.
(Khusus untuk mereka yang berasal dari Sabah)
2) Satu watak sebagai gadis Bunian. Berkulit cerah dan berambut panjang
3) Satu watak sebagai Biah (Hantu)..berambut panjang dan mempunyai suara yang lantang
4) 2 watak pembantu wanita...(mereka yang bertudung boleh memohon).

B) Lelaki berumur 18-50'an berketurunan Melayu dan India

1) Mempunyai personaliti yang menarik. tidak memakai kacamata
2) Mempunyai asas seni mempertahankan diri
3) Boleh menunggang motosikal dan memandu kereta

Anda di nasihatkan mempunyai asas lakonan dan minat serta kebenaran keluarga untuk melibatkan diri dalam filem ini. Anda juga tidak terikat dengan mana-mana produksi lain yang memerlukan kebenaran dari mereka. Beberapa soalan am seperti pendapat anda mengenai senario industri filem tempatan dan luar negara akan ditanya untuk mengetahui pengetahuan am anda. Bagi mereka yang telah menonton filem MOMOK The Movie (MTM) adalah kelebihan untuk memahami sesetengah watak yang ditawarkan. Kepada yang belum,, anda dinasihatkan mendapatkan DVD MTM dan menontonnya.

Pastikan anda bersedia! Jika anda benar-benar berbakat dan berminat pastinya anda tahu jenis persediaan yang perlu anda lakukan. Bidang lakonan adalah satu kerjaya dan bukan perkara suka-suka semata-mata mengejar glamor. Selamat mencuba dan berjaya.
Bagi maklumat lanjut layari laman web rasmi www.galaksiseni.com

Nak Buat Filem..Nak Jadi Artis.......


Industri hiburan di Malaysia masih tercari-cari identitinya. Sepatutnya apabila ianya sudah bergelar industri, bidang ini sepatutnya ada unsur keprofesionalannya. Kegemilangan industri hiburan, khususnya perfileman di era zaman P.Ramlee di jalan Ampas Singapura hanya menjadi memento pada kita semua.

Menerbitkan filem dulu, kini dan akan datang, bukan mudah..selain dari faktor kos, pemasaran, pemamer, skrip, saingan, pelakon, pengarah dan tenaga kerja, penonton hari ini begitu selektif dalam membelanjakan wang mereka untuk ke pawagam. Penonton hari ini mempunyai begitu banyak pilihan. Bayangkanlah saingan filem tempatan hari ini adalah dari Hollywood, Bollywood, Thailand, Indonesia, Korea dan filem dari mana-mana negara saja boleh tayang di Malaysia termasuklah dari negara 'gohit-gostan' . Dalam erti kata yang lain, tiada kawalan! Undang-undang yang ada hanya lebih 'menyeksakan' filem tempatan.

Macam-macam cuba dilakukan bagi membantu industri perfileman tempatan, termasuklah penubuhan persatuan-persatuan bak cendawan. Hasilnya? Industri perfileman kita masih di takuk lama. Memang jumlah penayangan filem tempatan bertambah saban tahun sekarang..ada syarikat yang terus maju dan lebih banyak yang terlungkup selepas menerbitkan satu filem. Ramai yang begitu ghairah untuk penerbit filem apa lagi yang begitu ghairah untuk menjadi artis!

Kerajaan yang ada sekarang cuba membantu dengan memberi pelbagai insentif..namun implementasinya penuh dengan kedunguan, hipokrasi, korupsi akal yang memualkan. Silap siapa? Seni hiburan yang sepatutnya sudah menjadi industri yang profesional, tulus dan telus telah dimonopolikan oleh Pak Pandir moden dan penyangak terhormat yang hanya bijak memanupulasikan RM kerajaan. Jangan berlagak bodoh sombong, berhasad dengki dan pentingkan diri sendiri.

Kebanyakan dari mereka yang ingin menjadi penerbit dan artis hanya ghairah untuk menceburi badang ini tanpa persediaan rapi dan ilmu. Mereka-mereka ini beranggapan dunia hiburan ini adalah satu dunia glamor yang menjanjikan keuntungan dan kemasyuran semata-mata. Percayalah, apa bidang jua yang hendak kita ceburi mesti mempunyai persediaan yang rapi dari segi ilmu, pengetahuan, kesungguhan, komitmen dan tanggugjawab. Bidang ini adalah satu kerjaya yang harus diberi perhatian yang serius supaya menjadi satu industri yang punya wibawa dan status yang dihormati. Sama-samalah kita muhasabah diri.

P.S Kepada mereka yang bercita-cita untuk menjadi pelakon dan ingin datang ke ujibakat pada 13,14 dan 15 hb ini di syarikat penerbitan Galaksi Seni S/B, diingatkan supaya bersedia dengan sedikit sebanyak ilmu dan pengetahuan. Jangan sekadar datang `kosong' suka-suka untuk jadi glamor kerana kemungkinan besar ada sekadar menjadi pembuang masa dan juga akan pulang'kosong'

Apa definisi filem yang baik? Bagaimana agaknya cara kita mahu menarik minat penonton ke pawagam menonton filem tempatan? Bersediakan anda memberikan jawapan yang baik?

Monday, January 4, 2010

Kita Yang Bergelar Manusia..................

"Semakin jauh perjalanan, semakin dekat kematian. Semakin bertambah bebanan, semakin kurang pula keupayaan. Hanya iman dan dan keyakinan mampu mengayuh roda kehidupan...Penuh ketenangan, merempuh ujian. Tuluslah dengan TUHAN, telus Ikhlaslah sesama INSAN. Kurangkan Pembohongan, jauhi Pengumpatan, tetapkan nawaitu yang baik. Berhijrahlah kita ke zon rahmat dan keberkatan"....................

Blog Rasmi: http://momokthemovie.blogspot.com
Laman Web Rasmi :
www.galaksiseni.com

Ujibakat Filem "MOMOK..Jangan Panggil Aku"

Ujibakat untuk filem MOMOK..Jangan Panggil Aku. Galaksi Seni Sdn.Bhd. akan menerbitkan filem keduanya berjudul "MOMOK..Jangan Panggil Aku." (MJPA). Filem MJPA dijangka akan memulakan penggambaran selewat-lewatnya pada pertengahan bulan March 2010. MJPA bukanlah filem kesinambungan kepada filem MOMOK The Movie. Genre MJPA lebih menyeramkan dan berlokasikan tempat kejadian sebenar di Lebuhraya Karak, Bentong , Lancang, Kuantan, Kg. Tanjung Medang, Kg. Pulau Rusa dan bandar diRaja, Pekan, Pahang. Dengan `Tagline'.... "Misteri Tidak Boleh Dicari...IaNya Terjadi' jelas menunjukkan MJPA lebih serius dari segi penceritaannya kali ini..Antara nama-nama pelakon yang dicadangkan membintangi filem ini ialah Julia Zieglar, Zahida Rafiq, Ariff S.Shamsudin, Jalil Hamid, Dato' Seniwati Sarimah , Azzarima Elite dan Rafi Khan. Beberapa pelakon baru dari Sabah, Sarawak, Singapura dan Negara Brunei Darussalam akan turut diperkenalkan..Filem ini bakal diarahkan oleh M.Jamil. Galaksi Seni Sdn.Bhd kini sedang berharap untuk mencungkil mereka-mereka yang berbakat untuk memegang beberapa watak bagi filem ini.

Wanita berumur 18-30'an
wanita berketurunan Melayu, Cina, India layak memohon dengan syarat fasih berbahasa kebangsaan.
Mempunyai ketinggian sekurang-kurangnya 5 kaki
Bertubuh langsing dan berambut panjang.
Mereka yang berasal dari Sabah, Sarawak dan Brunei digalakkan menghadiri ujibakat ini.

Sila datang dengan membawa bersama photo berukuran poskad ke alamat:

Galaksi Seni Sdn. BhdN0. 18-1, Jalan Bukit Setiawangsa,
Taman Setiawangsa,54200 Kuala Lumpur Tarikh: 13, 14, 15 Januari 2010
Waktu: 2:00 - 7:00 petang.
Untuk sebarang pertanyaan sila emailkan ke
galaxyseni@yahoo.com atau
telefon 03-42574858.

Harap maklum

Sinopsis


MOMOK- Jangan Panggil Aku…


Kassim menerima panggilan dari rakan lama sekolejnya, Faizal, untuk menjemput beliau ke majlis kendurinya di Kampung Pulau Rusa, Pekan Pahang. Kassim bersama rakannya, Qaseh, seorang novelis cerita-cerita seram dan Ramli menerima jemputan Faizal dan bertolak dari Bandaraya ke Pahang dengan menaiki sebuah kenderaan.

Sepanjang perjalanan ke Pahang untuk menghadiri majlis kenduri Faizal, Qaseh memulakan cerita-cerita seram yang di alaminya termasuk dari kisah seram yang dari novel seram yang bakal diterbitkan nanti. Bermula dengan cerita Hantu Raya, Polong dan Saka cerita-cerita seram ini telah di selang selikan dengan insiden seram yang benar-benar berlaku.

Kebosanan dalam perjalanan bertukar menjadi satu perjalanan yang menimbulkan rasa seram. Mereka terserempak dengan realiti cerita seram di lebuhraya apabila berselisih dengan kereta yang tidak berpemandu.Mereka juga telah melanggar imej misteri yang membuat mereka terpaksa membuat laporan di Balai Polis. Mereka bertambah bingung apabila pihak polis memberitahu terdapat 5 aduan yang sama tetapi tidak menemui tubuh yang dilanggar. Di tengah perjalanan mereka turut menumpangkan seorang gadis yang bernama Ita dan seorang lelaki tua yang hanya dipanggil Pak Long. Tujuan mereka bertiga menumpangkan Ita dan Pak Long adalah bertujuan untuk menemankan mereka yang ketakutan dalam perjalanan memandu. Namun kehadiran Pak Long dan Ita telah menambahkan curiga kepada mereka bertiga. Mereka telah menurunkan Ita di sebuah rumah yang berhampiran dengan kawasan perkuburan manakala Pak Long akhirnya menemankan rakan bertiga ini untuk menuju ke destinasi mereka di Pahang. Setelah di desak oleh Qaseh, Pak Long turut menceritakan cerita seram kepada Qaseh sebagai bahan novelnya.

Dalam perjalanan Faizal, Kassim sekali lagi menerima panggilan dari Faizal dan menyuruh beliau segera untuk sampai ke kampungnya. Mereka bertiga sedikit kehairanan dengan sikap Faizal yang menyuruh mereka segera sampai walaupun majlis diadakan lewat pagi. Insiden menyeramkan muncul ketika mereka berhenti rehat di sebuah gerai di tepi lebuhraya yang mereka lalui.


Mereka sampai ke kampung Pulau Rusa Pahang menjelang subuh dan tercari-cari simpang ke rumah Faizal ketika itu mereka telah diganggu `hantu’ yang mengakibatkan Kassim dan Ramli pengsan . Hanya Qaseh yang agak berani dan cuba merakamkan imej ‘hantu’ dengan lensa kameranya. Pak Long juga telah ghaib entah ke mana. Menjelang pagi mereka terus mencari simpang ke rumah Faizal. Mereka berjumpa faizal di simpang jalan dan faizal telah menunjukkan arah ke rumahnya..namun apabila mereka sampai ke rumah Faizal satu misteri telah terungkap…misteri yang mengakhiri destinasi Kassim, Ramli dan Qaseh. Siapakah Ita, Pak Long dan Faizal yang sebenarnya…..saksikanlah cerita seram selanjutnya dengan menonton MOMOK… Jangan Panggil Aku……

Sunday, December 27, 2009

'MOMOK..Jangan Panggil Aku 2010'



Assalamualaikum..Selamat Sejahtera dan Salam 1 Malaysia..

Alhamdulillah, Maal Hijrah 1431 telah kita sambut dan kini sekali lagi kita menyambut pula Tahun Baru 2010. Tidak banyak yang hendak diperkatakan selain dari bersyukur kerana kita masih dapat bersama di Tahun baru ni. Pastinya tahun baru ini memerlukan anjakan paradigma bagi kita semua. Pastinya juga tahun baru ini mesti lebih baik dari tahun-tahun yang berlalu. Muhasabah diri untuk melihat sejauh mana pencapaian kita sehingga kini. Apa yang kurang dan lebih untuk kita jadikan pedoman kehidupan kita seterusnya. Cabaran dan dugaan hidup insyaAllah, akan menjadikan kita seorang individu yang lebih komited dalam usaha menjadi manusia yang lebih bersedia zahir dan batin.

Dalam usaha kita memperkatakan senario industri perfileman kita hari ini, ramai yang mempunyai pendapat yang berbeza. Sebenarnya ianya begitu subjektif dalam memperkatakan tahap kualiti sesebuah filem. Sukar bagi seseorang pengarah seperti saya dapat memenuhi kehendak setiap orang. Apa yang saya mampu lakukan adalah memberikan yang terbaik.

Momok..Jangan Panggil Aku..adalah filem yang bakal saya arahkan tahun ini. InsyaAllah, segala persiapan untuk pembikinan filem ini sedang giat dilaksanakan. Pemilihan tenaga, kerja, pelakon, lokasi sehinggalah ke urusan kewangan, pemasaran dan penajaan sedang dalam proses penelitian. Doakan semoga Momok..Jangan Panggil Aku akan dilaksanakan dengan jayanya.

Monday, December 14, 2009

'Hantu Raya'.."momok...Jangan Panggil Aku....."


Kenalkah anda dengan pelakon versatile ini yang bakal memegang watak sebagai 'Hantu Raya' dalam filem "momok..Jangan Panggil Aku" ini?